Pembantu syarikat pinjaman wang ditemukan mati terjerut leher  - Utusan Malaysia

Pembantu syarikat pinjaman wang ditemukan mati terjerut leher 

ANUAR ABD. RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang pembantu sebuah syarikat pemberi pinjaman wang berlesen ditemukan mati dalam keadaan terduduk selepas dipercayai menjerut lehernya dengan tali yang diikat pada sangkar anjing di halaman rumahnya di Taman Berjaya Baru di sini hari ini.

Mayat lelaki berumur 58 tahun itu ditemukan isterinya selepas didapati tiada di dalam rumah apabila dia bangun daripada tidur pada pukul 7 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Anuar Abd. Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian itu pada pukul 7.15 pagi.

“Makluman awal yang diperoleh daripada isteri mangsa mengatakan suaminya berseorangan di ruang tamu sebelum dilihat tidur di atas sofa rumah mereka malam tadi.

“Isteri mangsa yang merupakan pemilik syarikat pemberi pinjaman wang berlesen itu kemudiannya masuk tidur di dalam bilik bersama anak perempuan mereka berumr 17 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Anuar, lebih kurang pukul 2.38 pagi, anak perempuan pasangan itu menerima khidmat pesanan suara mangsa melalui aplikasi WeChat meminta dia menjaga ibunya dengan baik.

Tambah Anuar, lebih kurang pukul 3 pagi, isteri mangsa terdengar salakan anjing peliharaan mereka yang dikurung di dalam sangkar di halaman rumah, namun, tidak menghiraukannya.

“Namun, sebaik bangun tidur pagi tadi, isterinya mendapati mangsa tiada di ruang tamu sebelum terkejut menemukan suaminya mati terduduk dengan seutas tali yang diikat disangkar anjing bagi menjerut lehernya.

“Pihak pegawai Kementerian Kesihatan Daerah Kuala Muda yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” ujarnya.

Kata Anuar, siasatan di lokasi dan fizikal pada tubuh mangsa mendapati tiada sebarang kecederaan berunsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

 Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya dihantar untuk bedah siasat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya