Pelajar maut kemalangan bekerja di gerai makan bantu keluarga  - Utusan Malaysia

Pelajar maut kemalangan bekerja di gerai makan bantu keluarga 

MAZLINA DIN (kanan) bersama anak bongsunya, Zaireel Arysha Saiful Nizam menunjukkan gambar arwah Nurul Fateha Amyra Saiful Nizam di rumah mereka di Kampung Keda Sungai Salleh, Serdang, Bandar Baharu hari ini. - UTUSAN/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR BAHARU: Pelajar yang maut selepas terlibat dalam kemalangan di sini semalam merupakan seorang yang rajin dengan melakukan kerja sambilan di sebuah gerai makanan di pekan Serdang di sini sejak dua tahun lalu.

Arwah Nurul Fateha Amyra Saiful Nizam, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serdang di sini melakukan kerja tersebut untuk membantu meringankan beban keluarganya.

Ibu pelajar itu, Mazlina Din, 43, memberitahu, arwah anaknya itu sanggup mengorbankan masa belajarnya di rumah dengan bekerja sebagai pembantu di gerai makan itu dari pukul 3 petang hingga 12 malam.  

Dia yang bekerja di sebuah kilang di Prai, Pulau Pinang berkata, Nurul Fateha Amyra yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik bekerja di gerai itu dua atau tiga hari dalam seminggu.

“Bagaimanapun, saya juga sering menasihatkan arwah supaya tidak mengabaikan pelajaran kerana bakal menduduki peperiksaan SPM 2021 tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung di Keda Sungai Salleh, Serdang di sini hari ini.

Nurul Fateha Amyra yang baru selesai menduduki peperiksaan Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Selama-Serdang di sini semalam.

Pelajar itu yang cedera parah selepas tercampak dan terjatuh di atas jalan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada pukul 1.30 petang.

Mazlina memberitahu, arwah anaknya itu terlibat dalam kemalangan itu ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di gerai makan tersebut yang terletak kira-kira 3.6 kilometer dari rumahnya.

“Saya kali terakhir bertemu arwah anak saya itu ketika dia bersiap hendak keluar bekerja sehari sebelum kejadian.

“Arwah tidak menunjukkan petanda yang pelik, cuma pada hari Ahad iaitu sehari sebelum kejadian dia lebih banyak mendiamkan diri,” ujarnya.

Tambahnya, dia hanya mengetahui arwah terlibat dalam kemalangan selepas dihubungi anak sulung ketika berada di tempat kerjanya pada pukul 2 petang semalam.

“Saya reda dengan ujian ini dan berdoa agar rohnya di tempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya