KUALA TERENGGANU: Hari keempat banjir di Terengganu menyaksikan jumlah mangsa banjir naik berganda kepada 11,137 orang, setakat pukul 8 pagi ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, kesemua mangsa melibatkan 3,177 keluarga ditempatkan di 157 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di kesemua lapan daerah.
Katanya, peningkatan itu susulan hujan lebat berterusan malam tadi di samping limpahan air sungai.
“Lima daerah kini mencatatkan mangsa banjir melebihi 1,000 orang dengan yang tertinggi di Kemaman seramai 3,026 orang diikuti Hulu Terengganu (2,946 orang), Besut (2,187 orang), Setiu (1,277 orang) dan Dungun (1,236 orang).
“Di Kuala Nerus pula seramai 407 mangsa manakala Kuala Terengganu (53 orang) dan Marang (lima orang),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sekretariat itu berkata, cuaca semasa di Kuala Terengganu beransur baik pagi ini, namun di tujuh daerah lain masih lagi hujan dan mendung.
Terdahulu, malam tadi beberapa penempatan di sekitar daerah ini dinaiki air ekoran hujan lebat berterusan dan limpahan air sungai antaranya di sekitar Losong, Pulau Duyung, Pulau Rusa di samping Pulau Sekati. –UTUSAN ONLINE