KEMAMAN: Pelajar tingkatan dua ditemukan mati lemas ketika bermain air banjir sedalam dua meter di belakang rumahnya di Bandar Cheneh Baru di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa, Muhammad Alimi Hashim, 14, dikatakan tiba-tiba lemas manakala adik lelakinya sempat berenang ke tebing meminta bantuan.
Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azman Alias berkata, mangsa cuba diselamatkan kakaknya, Nurshahiza, 21, tetapi, gagal apabila wanita itu pula hampir lemas, namun, sempat ditarik orang awam yang kebetulan berada di lokasi kejadian.
“Mangsa dijumpai penduduk sebelum bomba tiba. Selepas melakukan bantuan pernafasan awal mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan dan disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Cheneh,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Azman berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.
Pada 1 Januari lalu, seorang lelaki berusia 40 tahun ditemukan mati lemas ketika memukat ikan berhampiran Ladang Rakyat, Mak Lagam di sini, sekali gus menjadi korban pertama banjir pada musim tengkujuh tahun ini. –UTUSAN ONLINE