BALING: Lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Besar berhampiran Kampung Padang Pulai, Kuala Ketil di sini hari ini.
Mangsa, Muhammad Shauqi Ashraf Jasni, 26, beralamat di Kampung Padang Pulai terjatuh ke dalam sungai ketika ingin memasang pukat ikan di sungai tersebut pada pukul 8.30.pagi.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, mangsa keluar dari rumah kira-kira pukul 7 pagi dengan menaiki motosikal untuk memasang pukat ikan di Sungai Besar.
“Mangsa yang mengidap penyakit sawan dipercayai terjatuh ke dalam sungai dan rakan-rakan yang mencarinya menemukan sepasang selipar dan motosikal milik mangsa di tepi sungai tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, gerakan mencari mangsa dilakukan sekitar pukul 8.45 pagi oleh anggota polis dari Balai Polis Kuala Ketil serta seramai 20 penduduk kampung.
Katanya, mayat mangsa kemudian ditemukan penduduk kampung pada pukul 11.54 pagi.
“Mayat masa ditemukan tidak jauh dari lokasi mangsa memasang pukat dan dibawa naik ke darat,” ujarnya.
Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut –UTUSAN ONLINE