ALOR SETAR: Seorang lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik di sebuah rumah di Lorong Pauh, Derga di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II, Ahmad Naufal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 11.46 pagi.
“Setibanya di lokasi, didapati seorang lelaki terbaring di atas bumbung, dipercayai akibat terkena renjatan elektrik.
“Kejadian itu dipercayai berlaku ketika mangsa sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di bumbung,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, mangsa yang berusia 38 tahun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang tiba di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa dibawa turun menggunakan pengusung dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE