KUALA TERENGGANU: Keadaaan cuaca baik membolehkan kesemua 389 pelancong termasuk 28 kanak-kanak yang terkandas di Pulau Perhentian sejak Jumaat lalu dibenarkan pulang, hari ini.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Resort dan Pelancongan Pulau Perhentian, Abdul Aziz Che Abdullah berkata, kumpulan pelancong termasuk dari Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Kedah, Kelantan selain Terengganu itu bertolak seawal pukul 7.30 pagi.
“Kira-kira 15 bot beroperasi pagi ini untuk membawa pelancong pulang ke jeti Kuala Besut di Besut.
“Keadaan cuaca di pulau makin baik dan tidak berombak,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, kesemua pelancong yang menginap di 19 resort, chalet dan inap desa di pulau peranginan itu terperangkap tidak dapat pulang susulan cuaca buruk dengan ombak besar.
Sementara itu, menurut Abdul Aziz, selain penghantaran pulang pelancong, ada juga beberapa pengunjung yang masuk ke Pulau Perhentian hari ini.
“Namun, jumlah pelancong tidak begitu ramai kerana kebanyakannya adalah pekerja-pekerja resort,” katanya. –UTUSAN ONLINE