PUTRAJAYA: Hasil bedah siasat ke atas mayat wanita tanpa identiti yang ditemui di tasik berhadapan Skyrides, Presint 2 di sini mendedahkan terdapat tatu berbentuk bunga mawar berwarna hitam pada bahagian punggung di sebelah kirinya.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, bedah siasat dijalankan pukul 10 pagi hingga 2 petang tadi oleh Pakar Patologi Dr.Ahmad Shafie Ahmad Amran di Forensik Hospital Kuala Lumpur mengesahkan punca kematiannya belum dikenal pasti.
Menurutnya, pemeriksaan doktor mendapati ketinggian wanita itu kira-kira 163 sentimeter dengan berat antara 50 hingga 60 kilogram selain bangsa tidak dapat dikenal pasti kerana sudah mereput, manakala tanda suntikan BCG dan rubella di bahu kiri dan kanan hilang ekoran kulit tertanggal.
“Pemeriksaan pada luaran mayat mendapati ia berada lama di dalam air dan telah kembung selain ada kesan-kesan luka dipercayai gigitan haiwan liar dan kesan dicalar haiwan liar (biawak) di pipi serta badan melecet akibat terkena matahari.
“Terdapat juga kesan luka di atas kening dipercayai terkena benda tumpul tetapi bukan unsur jenayah.
Pemeriksaan organ dalaman mayat mendapati hanya tinggal jantung sahaja manakala organ perut telah hilang seperti dimakan haiwan semasa berada di dalam air,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, sampel organ tersebut akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis selain pemeriksaan mendapati tiada kesan kecederaan atau retakan pada mana-mana bahagian tulang mayat tersebut.
“Keadaan mayat didapati sudah tiga ke lima hari berada lama di dalam air dan punca kematian tidak dapat dipastikan,” katanya.
Mengulas lanjut, A. Asmadi berkata, usaha mengesan waris masih diteruskan menerusi tanda tatu serta pakaian si mati.
Semalam, satu mayat wanita tanpa identiti ditemui di tasik berhadapan Skyrides, Presint 2 di sini kelmarin, dalam keadaan kembung dan reput oleh seorang pengawal keselamatan warga Pakistan. -UTUSAN ONLINE