Sebulan ‘berumah’ di PPS angkara banjir termenung - Utusan Malaysia

Sebulan ‘berumah’ di PPS angkara banjir termenung

BANJIR termenung melanda Kampung Bendang Perol, Rantau Panjang, Kelantan sejak dua minggu lalu. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: “Banjir kali ini, hampir sebulan lamanyasaya dan keluarga terpaksa tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh.”

Demikian cerita Mek Yam Che Hamad, 80, dari Kampung Bendang Perol, di sini tentang pengalaman perit keluarganya terpaksa berpindah ke PPS sebanyak tiga kali akibat banjir tahun ini.

Warga emas itu memberitahu Utusan Malaysia, mereka keluar dari rumah ketika banjir mula melanda negeri ini pada 18 November lalu, sekali gus menjadi kumpulan terawal yang dipindahkan ke PPS.

Ironinya kata Mek Yam, keluarganya antara kumpulan terakhir di PPS tersebut yang dibenarkan pulang, iaitu pada Jumaat lalu gara-gara banjir termenung akibat limpahan Sungai Lachang yang tidak surut-surut.

“Sejak banjir mula-mula melanda Kelantan pada 18 November lalu sampailah hujung bulan lepas (Disember), keluarga saya jadi lali terpaksa keluar masuk PPS sebanyak tiga kali.

“Kali pertama dan kedua berpindah, kami bermalam di PPS masing-masing selama seminggu. Selepas balik ke rumah beberapa hari, banjir lagi dan kami terpaksa berpindah lagi. Kali ini, hampir dua minggu,” katanya.

Kata Mek Yam, banjir perkara lazim di Kelantan namun ini kali pertama dalam hidupnya terpaksa berpindah randah sehingga hampir sebulan lamanya dia dan keluarga ‘berumah’ di PPS SK Tok Deh.

Seorang lagi penduduk, Abdul Hamid Ahmad, 55, menyifatkan banjir kali ini terburuk sepanjang 28 tahun dia menetap di Kampung Bendang Perol apabila air sedalam lebih 1.5 meter menenggelami rumahnya.

“Saya sudah simpan peralatan elektrik di atas pangkin tinggi namun tidak sangka banjir kali ini paras air lebih dalam hingga semua barangan itu masih tenggelam,” katanya.

Terdahulu akhbar ini melaporkan, buat kali pertama dalam sejarah, kebanyakan penduduk di sembilan kampung di daerah ini terpaksa berpindah ke PPS ekoran bah yang disifatkan luar biasa tahun ini.

Air sungai dikatakan melimpah dengan cepat namun lambat untuk surut, dipercayai akibat kerja-kerja Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok (Kesban) yang sedang dilaksanakan ketika ini. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya