Video tular warga emas ditikam sentuh emosi warganet - Utusan Malaysia

Video tular warga emas ditikam sentuh emosi warganet

TANGKAP layar daripada rakaman video yang tular dalam media sosial memaparkan seorang lelaki berlari ke arah mangsa sebelum menikamnya sehingga menyebabkan kematian di dekat hadapan rumahnya di Kampung Idaman, Pandamaran di Klang, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Video tular insiden tragis melibatkan seorang lelaki warga emas yang maut ditikam ketika mahu menunaikan solat Jumaat di Kampung Idaman, Pandamaran di sini, semalam menyentuh emosi warganet.

Rakaman berdurasi lebih seminit itu merangkumi beberapa visual dipercayai sebelum dan selepas kejadian berkenaan.

Video yang dirakam orang awam itu antaranya memaparkan seorang lelaki dipercayai bertindak menikam mangsa di hadapan sebuah rumah.

Tikaman itu mengakibatkan mangsa rebah dan berlumuran darah manakala suspek melarikan diri.

Beberapa penduduk setempat yang menyedari kejadian itu kemudian terkejut dan menjerit meminta bantuan.

Rata-rata warganet meluahkan rasa sedih dan pilu kerana insiden itu berlaku ketika mangsa mahu menunaikan ibadah.

“Innalillahi wainnalillahirajiun. Meninggal pada hari Jumaat yang mulia dalam perjalanan nak solat Jumaat.

“Semoga tempatnya di syurga. Insya-Allah,” kata pengguna Facebook (FB), Roshaya Mohd. Noor.

Rasa geram turut diluahkan mengenai tindakan si pelaku yang tergamak melakukannya ke atas warga emas.

“Yang menikam tu ntahla apa masalah..kalau otak Tak betul takley cakap apa…

“Tapi kalauu motif dendam…Kat dunia jela puas…puas sekejap je..lepas tu habis penyesalan,” kata Fida Hafida.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan mangsa, Mohd. Sani Abdullah, 69, meninggal dunia akibat kecederaan di anggota badan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.35 tengah hari itu, mangsa sedang bersiap untuk pergi menunaikan solat Jumaat di sekitar kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong memaklumkan dua lelaki tempatan diberkas bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Kedua-dua suspek berusia 33 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar daerah ini dan Shah Alam, petang semalam.

Selain itu, senjata yang digunakan suspek untuk menikam mangsa berjaya ditemukan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan permohonan reman terhadap dua suspek akan dibuat di Mahkamah Klang hari ini. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya