Polis Melaka tunggu ujian alkohol - Utusan Malaysia

Polis Melaka tunggu ujian alkohol

KERETA dinaiki empat beranak yang dirempuh sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di Jalan Klebang, di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis sedang menunggu laporan ujian alkohol pemandu yang merempuh kereta dinaiki empat beranak sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di Jalan Klebang, di sini, kelmarin.

Kemalangan pada pukul 12.45 tengah malam itu menyebabkan kematian Abdul Rahim Mohamad, 53, manakala tiga lagi anaknya berusia 11, 13 dan 20 tahun mengalami kecederaan parah termasuk pendarahan di kepala. 

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, sampel darah pemandu kereta berusia 42 tahun yang merempuh kenderaan dinaiki empat beranak itu telah diambil untuk ujian alkohol. 

“Saya mengesahkan kejadian itu berlaku, namun, kita masih menunggu laporan kimia ujian alkohol sama ada pemandu berkenaan mabuk atau tidak semasa kejadian. 

“Siasatan masih lagi berjalan dan setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Terdahulu, kes tersebut turut tular dalam laman sosial Facebook dan menimbulkan kemarahan netizen selepas pemandu kereta jenis Nissan Teana yang merempuh empat beranak itu didakwa memandu dalam keadaan mabuk. 

Difahamkan, Abdul Rahim yang merupakan kakitangan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dalam perjalanan balik ke rumah selepas mengambil anaknya yang berusia 20 tahun pulang bekerja.

Mengulas lanjut, Hasan berkata, kemalangan berlaku ketika empat beranak itu yang menaiki kereta jenis Proton Wira dalam perjalanan dari arah Klebang ke Limbongan. 

“Setiba di lokasi, kenderaan mereka telah dirempuh sebuah kereta Nissan Teana yang hilang kawalan. 

“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta Wira terbabit maut di tempat kejadian, manakala tiga anaknya cedera parah,” katanya.

Tambahnya, kemalangan itu turut mengakibatkan tiga remaja berusia 16 tahun yang menunggang motosikal lain cedera selepas turut dilanggar kereta Wira terbabit yang berpusing.

Jelasnya, salah seorang penunggang masih menerima rawatan dan disyaki mengalami pendarahan dalam perut. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya