ALOR GAJAH: Seorang pegawai imigresen maut selepas tercampak dan digilis sebuah lori dalam kemalangan di kilometer 196.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa, Abdul Syafiq Mohammad, 30, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintenden Arshad Abu berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda dalam perjalanan menghala ke Ayer Keroh.
“Hasil siasatan, kita dapati sebelum kejadian terdapat sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berusia 35 tahun telah rosak dan berhenti di lorong kecemasan.
“Mangsa melanggar bahagian belakang kereta terbabit menyebabkannya tercampak ke lorong kanan laluan sebelum dilanggar sebuah lori yang gagal mengelaknya,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, pegawai JPJ dan pemandu lori tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Difahamkan, mangsa menetap di Bukit Katil di sini dan berulang-alik bekerja di Seremban, Negeri Sembilan. – UTUSAN ONLINE