KUALA SELANGOR: Sepasang suami isteri diselamatkan bomba selepas terperangkap lebih 20 minit dalam bilik rumah mereka yang terkunci di Taman Bayu Melawati di sini, awal pagi tadi.
Kejadian itu disedari pasangan berusia 30-an berkenaan ketika salah seorang bangun untuk membuang air kecil.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.05 pagi.
“Setibanya di rumah berkenaan, pintu bilik berkenaan didapati masih terkunci.
“Panggilan kecemasan itu dibuat bapa kepada pasangan suami isteri berkenaan yang turut membukanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, operasi itu disertai sepasukan lapan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor.
Tambah Norazam, pihaknya bertindak mengumpil pintu berkenaan dengan menggunakan peralatan khas.
“Pintu bilik tersebut berjaya dibuka dalam tempoh kira-kira 15 minit dan dua mangsa terselamat.
“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 3.27 pagi,” katanya. -UTUSAN ONLINE