BUTTERWORTH: Sepasang suami isteri warga emas terbunuh selepas motosikal dinaiki mereka dipercayai terbabas dalam kejadian di Jalan Pengkalan Machang, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, kedua-duanya mangsa yang berusia 66 tahun meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, siasatan pihaknya mendapati ketika kejadian pasangan berkenaan yang menaiki motosikal jenis Modenas berwarna merah dalam perjalanan menuju ke arah Sungai Dua sebelum dipercayai hilang kawalan.
Menurutnya, ketika kejadian mangsa dikatakan dari rumah mereka di Taman Desa Murni untuk menghantar isteri bekerja di bahagian pulau.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar batu penghadang di atas longkang sebelah kiri dan motosikal masuk ke dalam longkang.
“Penunggang dan pembonceng tercampak ke tepi kiri longkang dan kedua-duanya yang didapati mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas di sini untuk dibedah siasat. – UTUSAN ONLINE