Mayat mangsa pertama ditemukan selepas 34 jam - Utusan Malaysia

Mayat mangsa pertama ditemukan selepas 34 jam

MAYAT Mohd Faizal Hisyam Mat Taib salah seorang daripada dua nelayan yang tercampak ke dalam sungai selepas insiden pelanggaran bot ditemukan pasukan bomba kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian berhampiran Jeti Tok Kuning di Sungai Perlis, Kangar, Perlis, hari ini.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Selepas 34 jam, mayat salah seorang daripada dua nelayan yang dikhuatiri lemas selepas tercampak ke dalam sungai dalam insiden pelanggaran bot di Sungai Tok Kuning kelmarin, ditemukan dalam keadaan terapung berhampiran lokasi kejadian hari ini.

Mangsa, Mohd Faizal Hisyam Mat Taib, 39, ditemukan kira-kira 20 meter dari lokasi pelanggaran berhampiran pokok paya bakau sekitar satu kilometer dari Jeti Tok Kuning pada pukul 7.46 pagi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat itu.

Manakala, seorang lagi mangsa, Abdul Rashid Md Derus, 43, masih belum ditemukan dengan operasi mencari dan menyelamat terus dijalankan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Wari Kiew berkata, mayat mangsa pertama itu telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini untuk proses bedah siasat.

“Kita nak tahu sama ada mangsa meninggal kerana lemas ataupun ada impak pada bahagian badan disebabkan oleh kemalangan tersebut. 

“Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika ditemui di lokasi mencari dan menyelamat di Jeti Tok Kuning di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, bot yang dinaiki Mohd Faizal dan Abdul Rashid telah berlanggar secara berdepan dengan sebuah bot fiber yang dalam perjalanan dari muara Sungai Kuala Perlis ke jeti tersebut. 

Akibat pelanggaran tersebut, kedua-dua mangsa yang difahamkan baru sahaja selesai melakukan kerja-kerja menunda bot ke bengkel berhampiran telah tercampak ke dalam sungai.

Tambah Wari, berdasarkan penemuan mayat mangsa pertama, pihaknya menjangkakan seorang lagi mangsa mungkin berada di lokasi yang sama dan berkemungkinan tenggelam semasa nahas itu.

“Kami akan mencari mangsa di kawasan tersebut dengan menggunakan unit menyelam dan unit anjing pengesan daripada bomba. Berdasarkan teori tadi, kami akan fokus pada kawasan terbabit.

“Jika kami tidak menjumpai mangsa kedua pada pagi ini maka kawasan pencarian akan diperluaskan. Buat masa ini, radius pencarian adalah di sepanjang 3.2 kilometer di Sungai Perlis,” ujarnya.

Tambah beliau, operasi tersebut melibatkan 79 pegawai dan anggota daripada polis, bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan HTF. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya