KUALA PILAH: Sebuah lori tangki yang membawa muatan asid sulfurik terbabas di sebuah selekoh di Kampung Juasseh Kapitan, Jalan Lister, Taman Jemapoh dekat sini hari ini.
Pakar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Negeri Sembilan, yang juga Timbalan Penguasa Bomba, Mohammad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 2.11 petang dan tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian.
SEBUAH lori tangki yang membawa muatan sebanyak 16,000 liter asid sulfurik terbabas di sebuah selekoh di Kampung Juasseh Kapitan, Jalan Lister, Taman Jemapoh, Kuala Pilah petang tadi. -VIDEO/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
“Setibanya di tempat kejadian, sebuah lori tangki yang membawa muatan sebanyak 16,000 liter asid sulfurik telah terbabas dan berlaku tumpahan asid di jalan.
Bagaimanapun, tindakan awal pihak bomba adalah membuat sekatan di lokasi bocor di sebelah kiri lori tangki berkenaan bagi mengelakkan masuk ke lokasi anak air.
“Pihak bomba sedang menjalankan pemantauan di lokasi anak air berdekatan lokasi terbabas berkenaan kerana khuatir asid berkenaan akan merebak ke anak air tersebut. Pihak syarikat lori tangki berkenaan juga sedang menjalankan kerja-kerja pemindahan asid tersebut ke dalam sebuah lori tangki kosong,” katanya ketika dihubungi
Menurut Mohammad, terdapat seorang pemandu lori yang membawa lori tangki itu, namun, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pihaknya dimaklumkan, setakat ini, anggota melaksanakan pemantauan asid dalam air menggunakan pH Meter bagi mengukur tahap keasidan dan kealkalian air di lokasi anak air yang bertakung.
“Selain itu, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga telah tiba untuk melakukan pemantauan di lokasi,” katanya. -UTUSAN ONLINE