'Kereta berpusing sebelum ayah terpelanting' - Utusan Malaysia

‘Kereta berpusing sebelum ayah terpelanting’

MUHAMMAD Afiq dan adiknya, Nur Alya Adriana terselamat dalam kemalangan yang mengorbankan ibu bapa mereka, Muhammad Anas Awang dan Siti Hafissah Zamri di Kilometer 181 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Bagan Serai, Perak, Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: “Kereta yang dipandu ayah tiba-tiba berpusing (hilang kawalan) sebelum saya lihat ayah terpelanting keluar dari kereta.”

Demikian kata Muhammad Afiq Muhammad Anas, 8, ketika menceritakan detik cemas sewaktu nahas jalan raya yang meragut nyawa kedua ibu bapanya sekali gus menyebabkan dia dan adik perempuannya, Nur Alya Adriana, 6, menjadi yatim piatu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, anggota Tentera Darat, Koperal Muhammad Anas Awang, 32 dan isterinya, Siti Hafissah Zamri, 34, maut di lokasi kejadian setelah kereta jenis Mazda RX8 yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 181 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Bagan Serai pada pukul 3.30 petang, Sabtu lalu.

Muhammad Afiq berkata, ketika kejadian, mereka sekeluarga dalam perjalanan dari rumah mereka di Kulim ke rumah nenek mereka di Changkat Jering.

Katanya, sebelum kejadian, dia dan adiknya tertidur, namun, mereka terjaga selepas terasa kereta yang dipandu ayah mereka seperti berpusing.

“Kami ketakutan, adik saya menangis sebelum orang ramai datang bawa kami keluar dari kereta,” katanya.

Muhammad Afiq berkata demikian ketika ditemui selepas jenazah ayah dan ibunya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kuala Balong, Kuala Ketil di sini malam semalam.

Jenazah Muhammad Anas dan Siti Hafissah yang dibawa dari Hospital Parit Buntar, Perak tiba di Masjid An Nurul Huda, Kampung Kuala Balong pada pukul 9.40 malam untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di dalam satu liang lahad di tanah perkuburan itu.

Urusan pengebumian Allahyarham Muhammad Anas dilakukan dengan penuh istiadat ketenteraan selesai kira-kira 40 minit kemudian.

Muhammad Afiq menambah, dia dan adiknya kemudian bertindak menghubungi nenek mereka menerusi panggilan video untuk mengambil mereka di lokasi kejadian.

Sementara itu, nenek mereka Bashah Bakar, 60, berkata, dia menerima panggilan video daripada kedua cucunya itu kira-kira pukul 3.30 petang.

Katanya, dia terkejut apabila cucunya tiba-tiba membuat panggilan video dan memberitahu kedua ibu bapa mereka telah meninggal.

“Opah cepat datang sini, mama dan ayah mati.

“Itu ayat pertama yang disebut cucu saya sebaik sahaja saya menjawab panggilan tersebut.

“Ketika itu, saya hanya nampak wajah kedua-dua cucu saya dan dengar bunyi siren kereta polis,” ujarnya.

Bashah berkata, dia dan suaminya, Zamri Mat Nati, 60, akan mengambil tanggungjawab untuk menjaga dan membesarkan kedua-dua cucu mereka.

“Mereka sendiri yang pilih untuk tinggal dengan kami selepas ini dan ahli keluarga sebelah ayah mereka juga bersetuju dengan pilihan mereka,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya