KANGAR : Dua nelayan dikhuatiri lemas apabila tercampak ke dalam sungai setelah bot yang dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah lagi bot di Sungai Tok Kuning berhampiran Jeti Tok Kuning di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, bot yang dinaiki Mohd. Faizal Hisyam Mat Taib, 39 dan rakannya, Abdul Rashid Md Derus, 43, telah berlanggar secara berdepan dengan sebuah bot fiber yang dalam perjalanan dari muara Sungai Kuala Perlis ke jeti itu.
Akibat pelanggaran tersebut, kedua-dua mangsa yang difahamkan baru sahaja selesai melakukan kerja-kerja menunda bot ke bengkel berhampiran telah tercampak ke dalam sungai.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 11.49 malam dan bergegas ke lokasi kejadian untuk membuat pemantauan di sepanjang sungai tersebut dengan menaiki bot nelayan.
Namun, sepanjang pemantauan dan kerja-kerja mencari tersebut mangsa tidak ditemukan.
Atas arahan pihak polis, operasi ditangguhkan sementara pada pukul 2 pagi sebelum membuat pencarian semula pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Wari Kiew berkata, operasi mencari dan menyelamat dilakukan semula pada pukul 8.30 pagi ini.
“Seramai 50 pegawai dan anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), bomba dan Maritim Malaysia terlibat dalam operasi tersebut. Selain itu, usaha mencari mangsa turut dibantu oleh empat orang nelayan
“Sebanyak lapan buah bot daripada pelbagai agensi dan bot nelayan digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sehingga pukul 1.25 petang ini, kedua-dua mangsa masih belum ditemukan. -UTUSAN ONLINE