‘Bah besar mana sekalipun, kami setia di rumah’ - Utusan Malaysia

‘Bah besar mana sekalipun, kami setia di rumah’

NARIZA Arifin menunjukkan kesan tanda air banjir paling tinggi pernah menenggelamkan rumahnya, iaitu ketika bah kuning sekitar 2014 di Kampung Naga Ibu, Tumpat. - UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Ketika ada yang terpaksa berpindah berkali-kali kerana rumah sering dinaiki air akibat limpahan Sungai Golok, kira-kira 40 penduduk di Kampung Naga Ibu, di sini pula tidak pernah meninggalkan kediaman mereka.

Malah, ketika bah kuning melanda Kelantan pada penghujung Disember 2014, mereka daripada 10 keluarga terbabit tetap enggan berpindah, biarpun rumah masing-masing dinaiki air sehingga hampir dua meter.

Salah seorangnya, Nariza Arifin, 45, memberitahu Utusan Malaysia, banjir, sama ada ‘biasa-biasa’ atau luar biasa seperti bah kuning merupakan fenomena yang tidak dapat dielakkan di kawasan itu sejak berpuluh tahun lalu.

Namun bah besar mana sekali pun kata suri rumah itu, dia bersama suami dan tiga anak mereka serta bapanya yang tinggal bersama tidak pernah berpindah ke mana-mana pusat pemindahan.

“Keluarga saya lebih selesa tinggal di rumah sendiri selain bimbang rumah dipecah masuk pencuri jika ditinggalkan tanpa penghuni.

“Jadi kami sanggup menanggung risiko dan Alhamdulilah setakat ini kami berjaya mengharunginya sejak 40 tahun lalu, walaupun jarak rumah dengan sungai hanya kira-kira 10 meter,” katanya ketika ditemui hari ini.

Kata Nariza lagi, bagi memastikan mereka tidak terputus bekalan sepanjang rumah dikepung air, segala barang keperluan dan makanan disediakan lebih awal-awal untuk tempoh sekurang-kurangnya seminggu.

Sementara itu seorang lagi penduduk mahu dikenali sebagai Nusi, 38, yang tinggal bersama isteri berkata, mereka juga memilih untuk tinggal di rumah sebagaimana keluarga Nariza atas alasan sama.

“Saya akan simpan bekalan barang makanan seperti beras, gula, teh, telur dan roti untuk kegunaan selama seminggu. Ini kerana berdasarkan pengalaman, banjir di kampung kami akan surut dalam tempoh itu,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di sekitar kampung itu mendapati paras air Sungai Golok tidak menunjukkan tanda-tanda meningkat dalam masa terdekat, biarpun hujan lebat berterusan sejak empat hari lalu. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya