PETALING JAYA: Gara-gara terlalu banyak kejadian insan tidak berdosa dilanggar pemandu mabuk, warganet memohon kerajaan bertindak tegas dengan menjatuhkan hukuman berat pada pesalah atau pemandu dalam pengaruh alkohol.
Baru-baru ini tular gambar sebuah kemalangan yang melibatkan pekerja restoran dilanggar oleh pemandu mabuk semasa ingin pulang daripada kerja dan kejadian tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna laman sosial Twitter.
Seorang pengguna Twitter, @numanmazlan menyoalkan tindakan segelintir individu tidak bertanggungjawab yang mempertahankan kesalahan pemandu mabuk dan arak tanpa mengambil tahu akan nasib mangsa.
“Ada lagi yang nak pertahankan arak?” soalnya di laman Twitter.
Sebelum ini, Utusan Online melaporkan, pemandu mabuk bakal dihakimi dibawah akta baharu iaitu Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pindaan 2020 yang dilaksanakan pada tahun lalu.
Rata-rata netizen masih tidak berpuas hati dengan perlaksanaan akta tersebut kerana kes kematian akibat daripada kecuaian pemandu mabuk masih berleluasa, lalu menimbulkan perasaan resah setiap warganet.
“Dah berapa lama dah pemandu mabuk ni bermaharajalela kat Malaysia. Nak harapkan polis takkan tiap jalan nak buat roadblock tahan orang DUI. Kita yang tak berdosa hilang orang tersayang. Yang pemandu mabuk cuma kena 20 tahun penjara je. Patutnya kena ada sebatan sekali,” ciap @IzzuddinSafuan.
“Nyawa balas nyawa senang sahaja. Tak payah bagi alasan mabuk tak waras. Yang kau pergi mabuk drive tu kenapa?” ciap @_zairiq.
“Pemandu mabuk ni Malaysia je asyik pertahankan. Tengok negara-negara luar, kalau pemandu mabuk ni memang kena tindakan teruk. JPJ pun sibuk check road tax, cermin gelap etc. Tapi sekatan pemandu mabuk, tak pernah nampak. Pelik,”ciap UltrasUndercover.
“Berapa ramai lagi nak terkorban? Selagi tak kena golongan menteri atau golongan berpangkat besar , selagi tu cakap akan dipantau semula dasar undang undang tersebut ?” ciap @haziqiudin. -UTUSAN ONLINE