JERANTUT: ‘Setiap kali ribut, perkara yang cukup membimbangkan saya ialah rumah ini akan reban (roboh),” kata seorang warga emas, Hamidah Sulaiman, 63, di Kampung Perak, dekat sini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Hamidah yang tinggal bersendirian berkata, lantai di ruang tengah, bilik tidur, beranda serta tiang yang menunjangkan rumah itu yang dibina pada 1967 oleh arwah suaminya, Saibon Mat Rais sudah reput keseluruhan dimakan anai-anai serta menjadi sarang serangga berkenaan.
“Akibat dimakan anai-anai dan reput terdapat lebih 10 lubang di lantai ruang tengah, bilik tidur dan beranda sehingga menyebabkan kerap kali kaki terjerlus.
“Bukan sahaja lubang di sana sini, kebanyakan papan lantai sudah reput dan rumah akan bergoyang ketika lantai dipijak, sewaktu berlaku ribut dan situasi inilah membimbangkan saya sekiranya anak serta cucu mahupun tetamu berada di atas rumah,” katanya di Kampung Perak dekat sini semalam.
Hamidah yang merupakan ibu kepada tiga anak berusia antara 27 hingga 45 tahun itu berkata, tandas berdekatan dapur pun sudah hampir roboh dengan dinding simen yang mula retak dan pecah.
“Apa yang boleh katakan keseluruhan rumah lama ini sudah uzur teruk di semua bahagian atap, bumbung, lantai, dinding, tiang, manakala ada beberapa buah tingkap sudah tidak boleh dibuka, bila-bila masa sahaja rumah ini akan runtuh.
“Ketika ribut datang, saya cepat-cepat turun dan berlindung di rumah anak, Hasimah Mohamed, 45, yang terletak kira-kira 10 meter dengan kediaman ini untuk menjaga keselamatan diri yang kerap uzur,” katanya.
Menurutnya, rumah bertiang yang dibina dengan kayu dan papan di bahagian tengah, manakala dapurnya berlantaikan simen dibangunkan di atas tanah seluas 0.8 hektar yang keseluruhan dipenuhi tanaman kelapa dan buah-buahan merupakan rumah warisan yang ditinggalkan oleh arwah suaminya.
Hamidah berkata, pernah sekali sahaja dia menerima bantuan membaik pulih atap oleh kerajaan pada 2013 akibat diterbangkan angin dan sehingga kini tidak ada lagi bantaun baik pulih malahan struktur kediaman itu semakin uzur dimakan anai-anai.
Dia yang mempunyai komplikasi penyakit jantung, darah tinggi dan gastrik berharap kerajaan negeri dapat memberikan bantuan membina rumah baharu untuk berteduh dalam meniti usia warga emas supaya lebih selesa tinggal selain kemudahan tempat untuk menunaikan ibadah.
“Saya bimbang rumah ini bila-bila boleh reban memandangkan cuaca musim tengkujuh sudah bermula dan kerap berlaku angin kencang dan tetap risau dengan sebarang kejadian yang tidak diingini ketika tinggal berseorangan.
“Mana mampu saya hendak berbelanja peralatan binaan kerana tidak mempunyai pekerjaan malah keadaan kesihatan kerap terganggu,” ujarnya.
Orang ramai dan dermawan yang ingin membantu membina kediaman boleh menghubungi Hamidah menerusi talian 0199061683 atau anaknya, Hasimah (0148164963) atau datang terus ke Kampung Perak, kira-kira 45 minit perjalanan dari bandar Jerantut. -UTUSAN ONLINE