[VIDEO] Polis cari penunggang motosikal terlibat langgar lari - Utusan Malaysia

[VIDEO] Polis cari penunggang motosikal terlibat langgar lari

TANGKAP layar video kemalangan membabitkan dua buah motosikal yang menyebabkan seorang mangsa meninggal dunia di Kilometer 58, Jalan Batu Pahat - Mersing di Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Polis sedang mengesan seorang suspek yang menaiki motosikal dan terlibat dalam kemalangan langgar lari sehingga mengakibatkan seorang penunggang motosikal lain maut dalam nahas di Kilometer 58, Jalan Batu Pahat – Mersing, malam tadi.

Dalam kemalangan pada pukul 8.15 malam itu, mangsa yang berusia 47 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), di sini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, polis sedang mengenal pasti identiti suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil membantu.

“Kemalangan melibatkan dua buah motosikal iaitu jenis Suzuki RCI IOS dan satu lagi tidak pasti jenisnya. Semasa siasatan, motosikal tersebut tiada di tempat kejadian dipercayai telah melarikan diri.

“Berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dari arah Mersing menghala ke Kluang tiba di tempat kejadian telah berlanggar motosikal lain yang secara tiba-tiba melintas dari arah kanan ke kiri jalan,” katanya di sini, hari ini.

Video media sosial 

Hang Seng berkata, akibat pelanggaran tersebut penunggang motosikal jenis Suzuki RCI 10S itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dihantar ke HEBHK untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 9.45 malam.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu atau merbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian.

“Usaha mengesan pihak yang terlibat sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menyalurkannya ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang,” katanya.

Dalam pada itu, sebuah klip video kemalangan terbabit tular dalam media sosial dan mendapat reaksi bercampur daripada netizen.

Menerusi video berdurasi 22 saat itu, motosikal mangsa yang tiba di persimpangan lampu isyarat tiba-tiba dirempuh sebuah motosikal lain sehingga menyebabkan mangsa terpelanting.

Suspek dilihat menangkat motosikalnya dan segera melarikan diri tanpa mempedulikan mangsa yang terbaring di atas jalan raya sebelum dibantu pengguna lain. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya