Pelajar cemerlang tidak sempat sambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir - Utusan Malaysia

Pelajar cemerlang tidak sempat sambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir

GAMBAR kenangan Muhammad Munzir Abdul Razak (kanan) ketika mengambil sijil akademiknya di Sekolah Menengah Agama Yayasan Khairiah, Kupang, Baling baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Hasrat remaja untuk menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir pada hujung bulan ini tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Simpang Empat Charok Nau, Jalan Baru Baling-Kupang di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.49 pagi itu, mangsa, Muhammad Munzir Abdul Razak, 19, yang merupakan bekas pelajar tahfiz Sekolah Menengah Agama Yayasan Khairiah, Kupang di sini meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah.

Allahyarham Muhammad Munzir pernah menerima anugerah Pelajar Terbaik Sekolah-Sekolah Agama Negeri Kedah pada tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, mangsa beralamat di Taman Pekatra Indah, Simpang Empat, Pulau Pinang.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Unser dipandu lelaki berusia 49 tahun dalam perjalanan dari arah pekan Baling ke Kupang.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dikatakan keluar dari simpang di sebelah kiri jalan dari Taman Harmoni secara mengejut,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, kejadian menyebabkan MPV itu terlanggar bahagian hadapan sebelah kanan motosikal menyebabkannya mangsa tercampak ke laluan bertentangan. 

“Mangsa mengalami kecederaan parah dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk dibedah siasat,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, bapa mangsa, Abdul Razak Saleh, 53, berkata, segala persiapan untuk anaknya berangkat ke Mesir pada hujung bulan ini telah disediakan.

“Arwah amat teruja untuk menyambung pengajiannya di Mesir dan segala persiapan telah dilakukan, cuma menunggu tarikh sahaja untuk berangkat pada hujung bulan ini.

“Semalam arwah ke Baling dan menumpang bermalam di rumah kawan baiknya kerana dia akan melakukan ujian menunggang motosikal dan telah lulus pagi tadi,” katanya.

Jenazah Allahyarham Muhammad Munzir dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Lalang, Simpang Empat, Tasek, Pulau Pinang. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya