OKU berkayak solo 361km di Sungai Perak - Utusan Malaysia

OKU berkayak solo 361km di Sungai Perak

MOHD. Syukor Shahuji (kiri) tiba di Beting Beras Basah, Bagan Datuk pada Sabtu lalu selepas berjaya menamatkan ekspedisi berkayak di Sungai Perak secara solo sejauh 361 kilometer dari Tasik Banding di Hulu Perak. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Kemalangan motosikal yang dialaminya pada Ogos 2017 mengubah hidup Mohd. Syukor Shahuji apabila kaki kanannya terpaksa dipotong hingga paras lutut akibat kecederaan parah.

Tragedi yang menimpanya itu bukan sahaja mengubah hidupnya malah hampir menyebabkan dia berputus asa untuk meneruskan minatnya dalam aktiviti lasak yang digemarinya, termasuk aktiviti berkayak yang mula dilakukannya sejak tahun 2013.

Sebagai ahli Pengakap, Mohd. Syukor seorang yang aktif dalam aktiviti lasak dan rekreasi, namun kehilangan kaki kanan menyebabkan dia mahu melupakan minat berkayak.

Namun, ternyata aktiviti lasak terutama berkayak tidak dapat dipisahkan apabila Mohd. Syukor terus berkayak walaupun tanpa kaki kanan.

Dia menimba ilmu, pengalaman, latihan dan perangsang daripada pendayung kayak solo negara, Murad Mohd. Kassim.

Akhirnya Mohd. Syukor berjaya mencatat nama dalam Buku Rekod Malaysia apabila berkayak sejauh 361.52 kilometer selama lapan hari dari Tasik Banding di Hulu Perak ke Beting Beras Basah dan berakhir pada Sabtu lalu di sini.

Mohd. Syukor, 29, berkata, dia bersyukur kerana berjaya menamatkan ekspedisi itu di bawah Misi Survival Kayak Solo Orang Kurang Upaya (OKU) anjuran Persekutuan Pengakap Malaysia Perak dengan kerjasama kerajaan negeri Perak, dengan selamat.

Menurutnya, dia menempuh pelbagai cabaran sukar sebelum berjaya menamatkan ekspedisi.

“Cabaran paling sukar ialah ketika berdepan fenomena air surut di Beting Beras Basah dan cuaca yang secara tiba-tiba berubah daripada terang kepada gelap selain angin kencang.

“Selain itu, saya juga hampir kehabisan tenaga kerana hanya makan nasi dengan telur sahaja disebabkan bekalan makanan hampir habis.

“Namun semua itu saya hadapi dengan penuh semangat sehingga berjaya menamatkan ekspedisi sukar ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sementara itu, ketibaan Mohd. Syukor yang menamatkan ekspedisi di Beting Beras Basah di sini pada Sabtu lalu disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Shahrul Zaman berkata, kejayaan Mohd. Syukor menamatkan ekspedisi berkayak itu merupakan kejayaan yang mengkagumkan.

Menurutnya, bukan muda untuk berdepan pelbagai cabaran di sepanjang ekspedisi itu untuk dihadapi oleh Mohd. Syukor boleh menjadi dorongan untuk sesiapa sahaja menonjolkan semangat kesukanan dan kebolehan golongan OKU.

“Apa yang Mohd. Syukor lakukan ini juga dapat mempromosikan Sungai Perak sebagai tempat rekreasi pelancongan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya