KLANG: Kehilangan seorang lelaki selepas terjun ke dalam Sungai Klang berdekatan bangunan Majlis Perbandaran Klang (MPK) di sini, semalam terungkai apabila mayatnya ditemukan hari ini.
Mangsa berusia 36 tahun itu ditemukan terapung di sekitar sungai tersebut pada pukul 2.12 petang.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, operasi mencari dan menyelamat berkenaan dijalankan pihaknya dengan menggunakan tiga bot aluminium.
“Mayat mangsa yang berpakaian lengkap itu ditemukan terapung kira-kira 200 meter dari lokasinya terjun.
“Lelaki berkenaan dipercayai terjun daripada Jambatan Kota sebelum hilang dibawa arus Sungai Klang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas nekad terjun ke dalam sungai berkenaan.
Dalam kejadian pukul 5.40 pagi itu, mangsa turut meninggalkan kereta Perodua Alza dipandunya di sekitar lokasi berkenaan.
Jelas Norazam, operasi itu disertai sepasukan tujuh pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dan turut dibantu Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Selangor.
Tambah beliau, mayat mangsa yang dibawa ke darat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. -UTUSAN ONLINE