Laungan ‘api, api’ selamatkan 30 nyawa - Utusan Malaysia

Laungan ‘api, api’ selamatkan 30 nyawa

MOHD. Yusof Kamaruzaman melihat rumahnya yang rentung dalam kebakaran membabitkan sembilan kediaman di Lorong Nik Pa Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu, Kelantan, semalam. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Amaran ‘api, api’ dilaungkan jiran tetangga berjaya menyelamatkan nyawa 30 penduduk dalam kebakaran memusnahkan sembilan rumah di Lorong Nik Pa, Jalan Sultanah Zainab di sini, awal pagi ini.

Ketika kejadian pukul 2.50 pagi itu, kesemua mangsa dikatakan sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan dengan laungan tersebut lalu bergegas keluar dari rumah masing-masing dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Salah seorang mangsa, Mohd. Yusof Kamaruzaman, 31, memberitahu Utusan Malaysia, dia tersedar daripada tidur selepas terdengar jeritan jiran sebelah rumahnya yang menyuruh dia, isteri dan dua anak segera menyelamatkan diri.

“Ketika kami bangun, saya terkejut melihat api sudah membakar sebahagian besar bahagian belakang rumah.

“Kami sekeluarga kini tinggal sehelai sepinggang. Saya langsung tidak sempat menyelamatkan harta benda di dalam rumah termasuk sebuah motosikal yang digunakan untuk keluar mencari rezeki,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Seorang lagi mangsa, Nurul Norain Che Mazlan, 32, berkata, kejadian berlaku dengan pantas dan dia hanya sempat menyelamatkan beg tangan mengandungi dokumen pengenalan diri serta sebuah kereta Proton Wira.

Kesemua 30 mangsa terbabit kini menumpang di bangunan Jabatan Pendidikan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Kelantan yang terletak berhampiran lokasi, sementara mencari tempat berteduh lain.

Sementara itu, Ketua Cawangan Bahagian Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan, Mohd. Farid Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam pukul 2.56 pagi.

“Seramai 41 pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tunjong, BBP Pengkalan Chepa, BBP Kota Bharu, BBP Pasir Tumboh dan BBP Pengkalan Kubor bergegas ke lokasi kejadian.

“Api dikawal kira-kira sejam kemudian. Kami berjaya menyelamatkan beberapa rumah lain berhampiran lokasi kejadian daripada turut musnah,” katanya sambil memberitahu, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih disiasat. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya