Jenazah Kapten Muhammad Affendi selamat dikebumikan di Muadzam Shah - Utusan Malaysia

Jenazah Kapten Muhammad Affendi selamat dikebumikan di Muadzam Shah

Ibu Allahyarham Mohamad Affendi Bustamy yang maut dalam nahas pesawat Hawk 108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menyiram air di kubur anaknya di Tanah Perkuburan Islam Muadzam Shah di Rompin, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Jenazah Kapten Mohamad Affendi Bustamy, 31, yang maut dalam nahas pesawat Hawk 108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas di landasan Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Muadzam Shah di sini, malam ini.

Majlis pengebumian selesai kira-kira pukul 8.30 malam selepas jenazah tiba di tanah perkuburan itu pukul 7.40 malam.

Jenazah sebelum itu tiba di rumah keluarganya di Taman Redan Perdana di sini sebelum dibawa ke Masjid Al-Muadzam untuk solat jenazah.

Upacara pengebumian disempurnakan dengan penuh istiadat ketenteraan dengan keranda yang membawa jenazah dilitupi jalur gemilang dan diusung oleh anggota tentera berpakaian istiadat.

Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Asghar Khan Goriman Khan serta beberapa pegawai kanan TUDM turut hadir memberi penghormatan terakhir.

Turut hadir kedua ibu bapanya, Bustamy Tuakal, 70, dan Razilah Daud, 52.

Selesai pengebumian, Mohd. Asghar Khan menyerahkan Jalur Gemilang kepada isteri Allahyarham Mohamad Affendi, Nurul Izzati Shari, 31, dan disusuli tabik hormat sebagai tanda penghormatan terakhir.

Mohamad Affendi yang bertugas di Labuan, Sabah ketika kejadian sedang menjalani latihan penerbangan di Pangkalan Udara Butterworth.

Insiden berkenaan menyebabkan Mohamad Affendi maut manakala rakannya, Mejar Mohd. Fareez Omar, 33, cedera dan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ), Butteworth.

Keadaan Mohd. Fareez dilaporkan dalam keadaan selamat dan stabil. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya