Dua bulan lima kali rumah dinaiki air - Utusan Malaysia

Dua bulan lima kali rumah dinaiki air

AHMAD OMAR dan isterinya, Ramlah Zakaria hanya mampu termenung di tangga rumah apabila rumah mereka dinaiki air di Jelempok, Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU : Sepasang warga emas, Ahmad Omar,78, dan Ramlah Zakaria,70, hanya mampu termenung di tangga rumah mengenangkan nasib selepas dalam tempoh hanya dua bulan rumah mereka di Jelempok di sini sudah lima kali dinaiki air setiap kali hujan lebat.

Malah, hujan lebat yang melanda negeri ini sejak semalam menyebabkan rumah mereka sekali lagi dinaiki air sehingga paras paha.

Selain Ahmad, kira-kira 12 kediaman di kawasan berkenaan turut dinaiki air, malah penduduk di kawasan sekitar seperti Kampung Titi Besi dan Paloh turut terkesan akibat banjir tersebut.

Ahmad berkata, dia menyedari air mula memasuki rumah sejak pukul 5 pagi sekali gus menyebabkan barangan yang tidak sempat dipindahkan ke tempat tinggi tenggelam.

Katanya, setiap kali hujan lebat, rumahnya selalu dinaiki air sehingga paras paha berikutan limpahan air dari Sungai Jelempok di sini.

“Dalam tempoh dua bulan ini sahaja, sudah lima kali rumah saya dinaiki air dan secara keseluruhan, tahun ini, sudah tujuh kali,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Anaknya, Rohaizam,34, yang bergegas datang ke rumah ibu bapanya itu bagi membantu memindahkan barang berkata, dia cukup risau melihat rumah yang hanya dihuni ayah dan ibunya itu sentiasa dinaiki air setiap kali hujan lebat.

Justeru, dia berharap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan mendalamkan parit di hadapan rumah serta menambah baik saliran dan memperdalamkan sungai Jelempok.

“Masalah banjir di kawasan ini terus berulang dan sudah berlarutan sejak sekian lama. Saya harap penambahbaikan daripada segi saliran dapat segera dilakukan,” katanya yang juga merupakan seorang guru.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Mohd. Ridzuan Hashim yang melawat mangsa banjir di kawasan itu berkata, sekitar 10 ke 12 buah rumah mula dinaiki air sejak pukul 4.30 pagi dan kebanyakan penduduk yang terkesan telah menumpang sementara di rumah saudara mara.

Beliau berkata, pihaknya akan meneliti keperluan bagi membantu keluarga yang terlibat termasuk bantuan wang tunai.

“Awal bulan lalu, kita telah menyalurkan bantuan kepada keluarga terjejas dan hujan lebat sejak semalam menyebabkan rumah di kawasan tersebut kembali dinaiki air,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya