JEMPOL: Gara-gara mengelak sebuah kenderaan lain, sebuah lori terbalik yang turut mengakibatkan muatan sawit seberat sembilan tan yang dibawa turut bertaburan dan mengenai tiga buah kenderaan lain.
Kejadian berlaku di Jalan Mewah, Bahau dekat sini kira-kira pukul 10.50 pagi tadi yang turut menyebabkan pemandu lori iaitu seorang lelaki berusia 37 tahun mengalami kecederaan di bahagian tangan.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, berdasarkan siasatan awal, pemandu lori berkenaan yang memandu seorang diri dalam perjalanan membawa muatan sawit dari Juasseh ke Ladang Kok Foh, Rompin.
“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu berkenaan dipercayai cuba mengelak sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti yang mengubah haluan.
“Lori itu lalu terbalik menyebabkan muatan buah sawit telah terjatuh dan terkena pada kenderaan tiga buah kenderaan iaitu Proton Exora, Perodua Myvi dan pacuan empat roda Jenis Mitsubishi Triton yang berada di kawasan parkir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Chang Hook, polis akan membuat saringan awal ujian urin ke atas pemandu berkenaan manakala muatan sawit berkenaan akan dihantar ke Stesen Timbang JPJ Daerah Bera untuk ditimbang.
Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59). -UTUSAN ONLINE