TELUK INTAN: Terpaksa menaiki sampan keluar masuk kampung untuk membeli barangan keperluan terutama makanan dan ubat.
Itu yang dilalui oleh seramai kira-kira 300 penduduk Kampung Selat Manggis, Sungai Kerawai dekat sini apabila kampung mereka dilanda banjir sejak lebih seminggu lalu.
Banjir berpunca daripada ban tebatan banjir yang pecah menyebabkan air Sungai Batang Padang masih mengalir ke kawasan kampung menyebabkan ada tempat di situ yang dinaiki air sehingga paras pinggang.
Paling memberikan masalah, banjir menyebabkan jalan masuk ke kampung itu ditenggelami air sejauh kira-kira 500 meter dan tidak boleh dilalui kenderaan kecil.
Ini menyebabkan penduduk yang keluar masuk untuk pelbagai urusan terutama membeli barang makanan dan ubat-ubatan terpaksa menggunakan sampan melalui jalan itu.
Ini menimbulkan kesukaran kepada penduduk yang sudah tidak tahan menghadapi keadaan itu.
Penduduk kampung itu, Mohd. Fazil Hameed, 42, berkata, banjir yang tidak surut sejak lebih seminggu menyukarkan kehidupan seharian penduduk untuk pelbagai urusan seperti untuk keluar bekerja, beli barang keperluan harian dan urusan menjaga anak-anak.
Menurutnya, lebih membimbangkan kerana di kampung berkenaan terdapat warga emas termasuk bapanya yang terlantar kerana masalah kesihatan.
“Sukar untuk penduduk melakukan urusan seharian seperti membeli barang makanan kerana jalan masuk ke kampung kami dinaiki banjir.
“Selepas seminggu, keadaan banjir tidak banyak berubah dan ini meresahkan kami. Sampai bila kami harus menempuh keadaan ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Menurutnya, penduduk juga terpaksa menanggung kerugian kerana peralatan rumah banyak yang rosak akibat terkena air banjir.
“Penduduk juga sudah penat membersihkan kotoran banjir, hari ini bersihkan rumah, malam nanti banjir semula, setiap hari penduduk menghadapi keadaan ini,” katanya.
Menurutnya, penduduk terpaksa menghadapi keadaan itu hampir setiap tahun yang berpunca daripada ban tebatan banjir di Sungai Batang Padang yang pecah.
“Kami berharap kerajaan memberikan perhatian terhadap masalah kami ini.
“Ban yang telah pecah perlu diperbaiki, lebih elok jika dibina benteng konkrit yang lebih kukuh untuk menahan arus deras dan tahan lama,” katanya.
Katanya, penduduk juga kesal kerana tiada pihak berkenaan yang tampil melihat keadaan penduduk yang telah lebih seminggu berdepan masalah banjir apatah lagi memberikan bantuan.
“Hanya dua parti politik yang datang membantu kami baru-baru ini dengan memberikan sumbangan barangan makanan,” katanya. -UTUSAN ONLINE