KOTA TINGGI: Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semenchu yang dahulu aktif menjadi atlet sukan olahraga kini berdepan dengan pendarahan di otak selepas terlibat kemalangan baru-baru ini.
Ibunya, Senah Atan, 50 berkata, anaknya Nor Nabilah Azhari, 16 terlibat dalam kemalangan bersama abang dan juga kakak iparnya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah menaiki Perodua Myvi selepas ke bandar Kota Tinggi dua minggu lepas.
Bagaimanapun, katanya, abang, kakak ipar juga seorang cucunya berusia empat bulan terselamat dan hanya mengalami cedera ringan.
“Ekoran kemalangan itu, Nabilah mengalami pendarahan di otak dan kini masih ditempatkan di unit rawatan rapi. Doktor memaklumkan kepada saya dia mungkin perlu jalani pembedahan untuk mengeluarkan darah tersebut.
“Namun, buat sementara ini, doktor akan pantau dahulu, lihat perkembangannya sebelum keputusan pembedahan dibuat kerana dia masih muda.
“Oleh kerana berada di unit rawatan rapi, jadi, kami tidak dibenarkan untuk menjaganya cuma doktor akan memaklumkan perkembangan setiap hari. Nabilah seorang anak yang bijak dalam pelajaran dan juga aktif dalam sukan. Di sekolah, dia adalah atlet bagi sukan lumba lari,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika menerima ziarah dari Pegawai Khas Ahli Parlimen Pengerang, Syed Ben Bella Al Habshee untuk menyerahkan sumbangan wang tunai di kediamannya di Felda Semenchu di sini.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan dalam kemalangan berlaku di Kilometer 49 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi pada 31 Oktober lalu menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal Honda RS 150 maut selepas bertembung dengan kereta Perodua Myvi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal dari arah bertentangan memasuk laluan kereta Perodua Myvi yang dari arah Kota Tinggi ke Felda Semenchu.
Akibat pertembungan itu menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal berusia 20-an meninggal dunia di lokasi nahas.
Senah berkata dia bersama ahli keluarga dan adik beradik setiap hari menganjurkan bacaan yasin khas buat Nabilah agar satu-satunya anak tunggal perempuannya itu pulih.
Tambahnya, Nabilah juga kini terpaksa menggunakan saluran tiub untuk minum kerana mengalami kecederaan yang agak teruk di bahagian mulut dan mata akibat kemalangan itu.
“Doktor memaklumkan, kalau tidak buat pembedahan, responnya akan lambat. Buat masa ini, doktor atau sesiapa yang berinteraksi dengannya perlu bercakap dua tiga kali baru dia akan faham kerana pendarahannya kena di bahagian otak yang memproses pemahaman.
“Doktor juga sudah memaklumkan kepada kami agar kami kena terima kalau selepas ini Nabilah akan mengalami perubahan ketara tidak seperti dahulu ekoran kesan pendarahan di otaknya.
“Namun, kami redha dengan ketentuan-Nya dan hanya mendoakan yang terbaik sahaja untuk Nabilah,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE