BALING: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tembak A, Kuala Ketil dekat sini terpaksa dibuka semula selepas beberapa kampung di kawasan tersebut dilanda banjir hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Baling, Kapten (PA) Rasidah Kassim berkata, PPS SK Tembak A dibuka selepas seramai 10 mangsa banjir di Kampung Guar Tinggi, Kuala Ketil terpaksa berpindah apabila rumah mereka dinaiki air sejak pukul 5.45 pagi.
Menurutnya, antara kampung lain yang turut terjejas akibat dilanda banjir sejak petang semalam ialah Kampung Ulu Tawar, Kampung Charok Beras, Perumahan Raudhatul Muslim, Guar Tinggi dan Kampung Charok Kapas.
“Hujan lebat sejak pukul 6.30 petang semalam menyebabkan penempatan di beberapa buah kawasan di Mukim Bakai, Teloi Kanan dan Kupang dinaiki air sedalam 0.3 hingga satu meter bermula malam tadi.
“Sehingga pagi tadi, seramai 10 orang mangsa berpindah dan kita menjangkakan lebih ramai penduduk terpaksa berpindah akibat limpahan air dari Sungai Ketil,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau memberitahu, anggota APM sentiasa bersiap siaga pada setiap masa untuk membantu mangsa yang terjejas terutama di kawasan berdekatan sungai.
Beliau juga berharap agar penduduk kampung yang berada di kawasan rendah dan pinggiran sungai sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga ketika musim Monsun Timur Laut ini.
“Penduduk terlibat juga perlu mengutamakan keselamatan dengan menjaga diri sendiri dan ahli keluarga terutamanya anak-anak untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE