PETALING JAYA: Seorang wanita maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan berhampiran Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (Silk) berhampiran Plaza Tol Sungai Ramal di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian 12 tengah malam itu, mangsa, Tan Ho Ying, 19, disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala tiga lagi individu iaitu Gan Yiak Yi, 18; Ng Zhi Ni, 19, dan Lee Yon Lin, 20, mengalami cedera ringan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 12.40 tengah malam.
Katanya, seramai lapan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang dan BBP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Ketika tiba, kita mendapati terdapat kemalangan membabitkan sebuah Proton Wira dinaiki seorang lelaki serta tiga wanita.
“Kereta dinaiki mangsa dikatakan dari Putrajaya menghala ke Kajang sebelum terbabas masuk ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Ramal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norazam berkata, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat seorang mangsa wanita terperangkap di bawah kereta berkenaan namun berjaya dikeluarkan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Mangsa yang cedera pula dibawa ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.- UTUSAN ONLINE