PETALING JAYA: Pemandu Proton Wira yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 23.7 Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK), di sini, tengah malam tadi, dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, kereta itu dipandu wanita berusia 20 tahun bersama tiga rakannya berusia antara 18 hingga 19 tahun.
Katanya, siasatan awal mendapati semua mangsa dalam perjalanan pulang ke Kajang selepas selesai makan di Puchong.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, wanita berkenaan yang disyaki memandu dalam keadaan mabuk hilang kawalan lalu terbabas melanggar pembahagi batu di kiri jalan dan memasuki kawasan rehat dan rawat (R&R).
“Kemalangan itu menyebabkan wanita berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala pemandu kereta terbabit cedera di kepala.
“Dua lagi individu termasuk pemandu yang masing-masing berusia 18 dan 20 tahun hanya mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azman berkata, Proton Wira berkenaan dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Ujar beliau, mayat dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat yang dijangka dijalankan pada Sabtu ini.
“Selain itu, kami juga mengambil sampel daripada pemandu untuk analisa kimia.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita maut, manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan berhampiran Plaza Tol Sungai Ramal Lebuh Raya SILK, di sini, tengah malam tadi.- UTUSAN ONLINE