SEREMBAN: Seorang pemandu bas maut akibat tersepit dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Jalan Sendayan Lama berhampiran Kampung Jimah di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, kejadian pukul 9 pagi tadi itu melibatkan sebuah lori treler, sebuah bas, sebuah kereta pacuan empat roda dan sebuah motosikal.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah lori treler yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 30 tahun seorang diri sedang bergerak dari arah Nilai menuju ke arah Springhill.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, lori treler yang dipandu itu telah hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar bas milik syarikat My Bas yang dipandu seorang lelaki berumur 56 tahun.
“Kemudian datang sebuah kereta jenis Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki berumur 35 tahun dari belakang bas dan telah terlanggar bahagian kanan bas tersebut manakala sebuah motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggang seorang lelaki berumur 38 tahun pula yang datang dari arah sama melanggar kereta pacuan empat roda tersebut,” katanya.
Menurut Mohd. Said, akibat daripada kemalangan, pemandu bas tersepit selepas pelanggaran dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dada.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu lori pula mengalami kecederaan di bahagian mata.
“Mayat mangsa telah dibawa ke bahagian Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk pengendalian bedah siasat,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalanraya (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Sementara itu, Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Muhammed Gadaffi Abdul Manaf berkata, pihak bomba dengan kekuatan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 dibantu Unit Bermotor Bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, didapati berlaku kemalangan melibatkan empat buah kenderaan yang terdiri daripada masing-masing sebuah bas, lori tangki, kereta pacuan empat roda dan motosikal.
“Dalam operasi itu, pihak bomba telah mengeluarkan seorang pemandu bas, G.Erudayasamy, 56, yang didapati tersepit di bahagian pemandu sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya. -UTUSAN ONLINE