SHAH ALAM: Seorang lelaki nyaris maut apabila motosikal ditungganginya dipercayai melanggar sebuah pacuan empat roda dan terbakar di Kilometer 18.7 Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) di sini, pagi tadi.
Bagaimanapun, kemalangan itu mengakibatkan mangsa yang berusia 47 tahun berkenaan mengalami cedera parah.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.48 pagi.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal bersendirian menghala ke bandar raya ini.
“Setibanya di lokasi, lelaki itu dipercayai melanggar belakang sebuah Toyota Hilux di laluan tersebut.
“Kemalangan itu kemudian menyebabkan mangsa terjatuh manakala motosikalnya terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Norazam, mangsa yang parah dihantar ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan lanjut.
“Mangsa dihantar petugas perubatan menerusi ambulans sebelum ketibaan bomba,” katanya. -UTUSAN ONLINE