GEORGETOWN: Polis sedang mengesan saksi bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelayan restoran dan bar yang maut dalam kejadian kebakaran melibatkan dua buah premis di Jalan Kerian, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, setakat ini belum ada tangkapan dilakukan berhubung kejadian kebakaran yang dilaporkan berlaku pukul 3.30 petang itu.
Menurut beliau, pihaknya juga masih menunggu proses bedah siasat dilakukan ke atas mangsa wanita berusia 44 tahun itu di Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Tiada sebarang perkembangan terkini berhubung motif sebenar kejadian berlaku dan setakat ini, belum ada keputusan daripada pakar forensik HPP mengenai proses bedah siasat dilakukan.
“Polis ketika ini sedang giat menjalankan siasatan termasuk mengambil keterangan daripada individu yang mengenali si mati bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu Soffian memberitahu, pihak bomba memaklumkan, terdapat bau kerosin atau minyak tanah di lokasi kejadian tersebut dan siasatan berhubung perkara itu sedang dilakukan.
Semalam, Utusan Online melaporkan mayat seorang wanita ditemukan di atas katil sebuah bilik tidur utama di tingkat atas premis yang dijadikan penginapan kira-kira pukul 4 petang.
Mayat wanita yang dipercayai berasal dari Sabah itu dilaporkan mengalami kecederaan melecur pada bahagian atas badan hingga kepala.
Mangsa dipercayai maut akibat terhidu asap kebakaran melibatkan tiga bilik tidur di aras atas dan sebuah bar di tingkat bawah. – UTUSAN ONLINE