48 rumah, lapan kedai musnah sekelip mata - Utusan Malaysia

48 rumah, lapan kedai musnah sekelip mata

SEBANYAK 56 premis membabitkan 48 rumah dan lapan kedai musnah terbakar dalam kejadian kebakaran di Kampung Baru Karak di Bentong, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Sebanyak 56 premis membabitkan 48 rumah dan lapan kedai musnah dalam kebakaran di Kampung Baru Cina Karak di sini, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira pukul 9.10 malam itu sekali gus menyebabkan setiap mangsa terlibat hilang sekelip mata tempat tinggal dan sumber pendapatan mereka menerusi perniagaan yang dijalankan.

Seorang penduduk di situ, Ho Sin Kuan, 39, berkata, kebakaran tersebut sekelip mata memusnahkan tempat tinggal dan sumber mata pencariannya sekeluarga yang masih terbeban ekoran pandemik Covid-19.

HO SIN Kuan buntu dan sedih melihat kedai makan warisan keluarganya sejak 60 tahun lalu musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Baru Karak di Bentong, Pahang.

 

“Semasa kejadian, saya dengar bunyi bising dan apabila melihat keluar dua rumah bersebelahan terbakar dan api yang begitu marak menyebabkan kami panik dan hanya menyelamatkan diri.

“Saya tidak tahu lagi apa hendak buat, kami hanya berjaya selamatkan kad pengenalan kerana api marak dengan begitu cepat menyebabkan rumah dan kedai yang berusia lebih 60 tahun musnah,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Cina di sini semalam.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Wa Soon Ki, 60, berkata, dia hanya sempat mengambil dompet dan keluar berseluar pendek bagi menyelamatkan diri.

“Saya keluar dari rumah selepas mendengar orang panggil dan mendapati api marak di rumah hadapan menyebabkan saya menyuruh isteri keluar dan cuba menyembur air tetapi api terlalu kuat.

“Saya tidak mengambil barang kerana saya mahu cuba mengelakkan api merebak dan kini tiada apa yang saya ada, seluar dan baju pun orang punya,” katanya.

Katanya, kehilangan rumah warisan sekelip mata membuatkan perasaannya kini kosong apatah lagi memikirkan untuk membina semula rumah dalam keadaannya pendapatannya yang berniaga di gerai agak terjejas pada ketika ini.

Sementara itu, Ketua Polis Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, tiada kemalangan jiwa mahupun kecederaan dalam kejadian semalam.

“Pihak bomba berjaya mengawal api sepenuhnya kira-kira pukul 12.05 malam. Usaha memadam kebakaran ini juga melibatkan beberapa buah jentera bomba dari balai-balai bomba berdekatan termasuk juga Bomba Sukarela terlibat dalam memberi bantuan termasuk agensi lain yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya