SHAH ALAM: Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun meninggal dunia akibat lemas selepas mandi bersama sekumpulan rakannya di Tasik Cermin, Puncak Perdana di sini, hari ini.
Mangsa dikatakan terperangkap dekat lumpur dasar tasik dekat tebing berhampiran kawasan perumahan Nusa Rhu di Jalan Pulau Angsa U10/32 ketika ditemui.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Norazam Khamis dalam satu makluman ringkas memberitahu, pihak bomba menerima panggilan pada pukul 4.08 petang tadi.
Sebaik menerima panggilan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik dikejarkan ke tempat kejadian dan tiba 17 minit kemudian untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Seorang remaja lelaki lemas semasa mandi di tasik. Mangsa berjaya dijumpai oleh anggota bomba pada pukul 4.49 petang. Mangsa terperangkap di dalam lumpur berhampiran tebing dan dipercayai meninggal dunia,” katanya.
Beliau menambah, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri terperangkap di dasar tasik pada kedalaman air kira-kira empat meter.
“Anggota operasi bertindak membuat pencarian melalui water surface dan membuat selaman. Mangsa berjaya dijumpai pada pukul 4.33 petang.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) Meru dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan,” jelasnya.
Untuk makluman, Tasik Cermin merupakan tempat tumpuan orang ramai dari pelbagai tempat seperti Petaling Jaya, Subang dan Kuala Selangor untuk melakukan aktiviti riadah termasuk berenang dan berkayak. -UTUSAN ONLINE