Pekerja Am Alam Flora maut kemalangan - Utusan Malaysia

Pekerja Am Alam Flora maut kemalangan

KEMALANGAN maut membabitkan motosikal yang terbabas dan terperosok di bawah sebuah treler simen di Jalan Permatang Badak di Kuantan, Pahang. - FOTO/FB POLIS TRAFIK KUANTAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya terbabas dan terperosok di bawah treler membawa simen di Jalan Permatang Badak berhampiran Kedai Buah Pok Dok di sini, semalam.

Mangsa, Amiruddin Abdul Latif, 17, merupakan pekerja am Alam Flora yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC warna biru.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.10 malam ketika mangsa dikatakan dari arah Jalan Kuantan Pintasan menghala ke Sungai Isap.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kemalangan, motosikal ditunggang mangsa terbabas secara tiba-tiba dan meninggal dunia di lokasi kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala.

“Pemandu treler, Muhammad Afiq Mohd. Afandi, 29, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Noor berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan mangsa tidak mengikut tanda lalu lintas di kawasan jalan yang sedang dalam pembaikan dan kecuaian hingga gagal mengawal motosikalnya.

“Menurut beberapa saksi di lokasi kejadian, mangsa dikatakan telah melalui jalan yang ditutup bagi kerja pembaikan di sebelah kiri laluan.

“Mangsa telah terbabas dan terjatuh sebelum terperosok ke bawah treler di sebelah laluan kanan yang sedang bergerak.

“Pemandu treler itu hanya menyedari mangsa terjatuh selepas dimaklumkan pekerja Roadcare yang berada di tepi laluan dalam pembaikan tersebut,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, pihaknya sedang mengesan majikan pemandu treler terbabit bagi membantu siasatan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat selepas keputusan ujian calitan Covid-19 diperolehi. Kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya