KLANG: Operasi mencari seorang penyelam tempatan yang dikhuatiri lemas sejak semalam diperluaskan di sekitar kawasan perairan Sungai Besar, dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, Calvin Patrick Lazaroo, 27, dipercayai menyelam bersama tiga rakannya untuk menarik bot sebuah syarikat yang karam pada 22 Julai lalu.
Mangsa yang melakukan selaman bagi mengikat tali pada bot itu bagaimanapun hilang selepas tidak timbul ke permukaan air selepas empat jam pencarian dilakukan.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohd. Rosli Kassim berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Selangor masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) mangsa.
Katanya, operasi yang dikoordinasikan Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru memasuki hari kedua itu dilakukan bermula pukul 7 pagi tadi.
“Kita mengatur gerak operasi menerusi Kapal Maritim (KM) Nyalau, Pengawal 26 dengan dibantu KD Teguh Samudera dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Operasi itu memperluaskan sektor pencarian meliputi 148.83 batu nautika persegi dengan penumpuan di perairan Sungai Besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Mohd. Rosli, sebuah pangkalan hadapan CARILAMAT turut ditubuhkan di Jeti Perikanan Sungai Besar pagi tadi.
“Selain TLDM, komuniti nelayan setempat turut menyertai pencarian kali ini.
“Cuaca di lokasi hujan serta kabus dengan kelajuan angin sekitar 20 hingga 30 kilometer sejam manakala ombak berketinggian 1.0 hingga 1.5 meter,” katanya.
Tambah beliau, CARILAMAT ditangguhkan pada pukul 7.30 malam tadi berikutan faktor penglihatan terhad pada waktu malam dan cuaca buruk.
Sehubungan itu, Mohd. Rosli mengingatkan orang awam supaya sentiasa memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.
Semalam, kehilangan Calvin Patrick disedari rakannya yang bertindak melakukan pencarian di sekitar kawasan tersebut.
Namun, pencarian selama empat jam itu gagal menyebabkan mereka menghubungi MRSC Johor Bahru untuk tindakan lanjut. -UTUSAN ONLINE