ALOR GAJAH: Seorang penunggang motosikal maut selepas cuba mencelah lalu di antara dua buah lori di Jalan Kampung Pegoh Dalam di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa, Roslan Ahmad, 50, meninggal dunia di tempat kejadian selepas terperosok di antara kenderaan berat berkenaan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, sebelum kejadian, salah sebuah kenderaan tersebut mengalami kerosakan dan sedang dibaiki oleh seorang pemandu lori yang lain.
Jelasnya, sebuah lori telah diberhentikan di bahu kiri jalan, namun, sebuah lagi berada di laluan lorong mangsa.
“Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dalam perjalanan dari arah Kampung Pegoh ke Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ).
“Setiba di lokasi, mangsa tidak sempat mengelak dan cuba mencelah lalu di antara dua buah lori tersebut, namun gagal sebelum terperosok di bawah kenderaan berat itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Katanya, akibat kemalangan itu, mangsa yang bekerja sendiri meninggal dunia di tempat kejadian.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika kejadian, terdapat seorang lagi penunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dari arah sama, namun, lelaki tersebut sempat mengelak dan terbabas ke bahu jalan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE