KEPALA BATAS: Seorang nelayan hilang dipercayai terjatuh ke laut manakala seorang lagi terselamat selepas dua buah bot bertembung di Sungai Kuala Muda, tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, Muhammad Azim Zahari,19, terjatuh selepas bot yang dinaikinya melanggar sebuah bot yang dinaiki Mohd. Nor Azman Abdul Rahim, 28.
Mohd. Nor Azman berjaya diselamatkan rakan-rakannya manakala Muhammad Azim gagal ditemui sehingga kini.
Penolong Penguasa Bomba dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda, Muhammad Yazi Taib berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam kira-kira pukul 1 pagi tadi.
“Operasi mencari dan menyelamat di permukaan air dijalankan sehingga pukul 2 pagi dan disambung semula pagi ini.
“Cuaca yang tidak menentu dan hujan menyukarkan operasi, namun, anggota penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Butterworth tetap meneruskan usaha pencarian bagi mengesan mangsa.
“Unit Anjing Pengesan (K9) serta Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Muda turut terbabit dalam operasi ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, ketika kejadian, bot yang dinaiki Muhammad Azim dalam perjalanan keluar untuk menangkap ikan.
“Bot terbabit yang tidak mempunyai lampu kemudiannya melanggar bot yang dinaiki Mohd. Nor Azman yang baru kembali dari laut menyebabkan kedua-duanya terjatuh.
“Seorang tekong bot yang cedera turut dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan,” katanya. -UTUSAN ONLINE