Kanak-kanak dua tahun lemas terjatuh dari anjung rumah - Utusan Malaysia

Kanak-kanak dua tahun lemas terjatuh dari anjung rumah

MAYAT kanak-kanak berusia dua tahun berada di pangkuan bapanya buat kali terakhir sebelum diserahkan kepada polis-IHSAN Maritim Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANDAKAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemukan lemas akibat terjatuh dari anjung rumahnya di perkampungan atas air di Pulau Bai, hari ini.

Dalam kejadian pada tengahari semalam, kanak-kanak warga tempatan yang dikenali sebagai Mohamad Fairul Iman Fairus itu dilaporkan hilang selepas terjatuh dari anjung rumahnya.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Kota Kinabalu mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (carilamat) pada pukul 6 petang semalam sebaik sahaja menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Operasi carilamat dipecahkan kepada lima sektor meliputi kawasan seluas 27 batu nautika persegi dengan penglibatan lima aset laut terdiri daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

“Mayat mangsa ditemui terapung oleh penduduk kampung sekitar jam 6.30 pagi tadi di lokasi 1 batu nautika utara Pulau Bai dan dihantar ke rumah keluarga mangsa untuk pengesahan.

“Mayat kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Jeti Pejabat Pos Sandakan bersama bapanya dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama (M) Datuk Mohd Rosli Abdullah turut berterima kasih kepada semua agensi dan komuniti nelayan yang terlibat sepanjang operasi tersebut.

Operasi carilamat itu ditamatkan pada pukul 8 pagi tadi.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya