DUNGUN: Seorang penternak di Felda Kertih 4 di Ketengah Jaya, di sini terpaksa menjual kesemua 10 lembu miliknya beberapa bulan lalu berikutan buntu dengan kejadian serangan harimau yang tidak berkesudahan.
Zahari Ali, 60, sudah berputus asa untuk meneruskan aktiviti penternakan yang diusahakan sejak 2015 itu selepas lima ternakannya yang berusia antara tujuh bulan hingga dua tahun mati dibaham Pak Belang dalam tempoh cuma sebulan.
Katanya, kejadian menimpa ternakannya itu berlaku ketika dia selesai membina pagar baharu di kandang.
“Pada awalnya, saya masih boleh bersabar, tetapi selepas seekor demi seekor lembu mati bergelimpangan, hati saya kecewa.
“Saya terus mengambil keputusan menjual kesemua 10 lembu yang ada kerana tidak sanggup terus berputih mata menanggung kerugian besar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Zahari berkata, sebelum ini sudah beberapa kali ternakan mereka diserang harimau, namun kekerapannya tidak seperti sekarang hingga menyebabkan rata-rata penternak kerugian lebih RM5,000 seorang.
Malah, katanya, dia pernah mendengar bunyi ngauman harimau ketika di ladang berikutan jaraknya lokasi itu yang berhampiran hutan.
“Memang rasa takut apabila mendengar harimau mengaum kerana suasana di ladang biasanya sunyi terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” katanya.
Seorang peneroka, Mohd. Sidek Muda, 70, pula lega dengan tindakan proaktif pihak berkuasa mengadakan kawalan ketat dan rondaan di sekitar ladang sejak minggu lalu bagi memastikan keselamatan peneroka dan penternak terjaga.
“Sebelum ini, saya ke ladang seorang diri untuk memantau pekerja dengan aktiviti keluar masuk yang sukar diketahui kerana tiada liputan telekomunikasi.
“Jadi apabila ada kawalan di pintu masuk ladang dengan membuat pendaftaran, maka secara tidak langsung memudahkan pencarian sekiranya berlaku sebarang masalah di ladang. -UTUSAN ONLINE