PASIR GUDANG: Seorang wanita berusia 55 tahun yang terperangkap di dalam rumahnya bersama 27 ekor kucing terpaksa memanggil bomba untuk membantunya keluar.
Wanita itu bersama semua haiwan peliharaannya terperangkap selepas suami mangsa dipercayai mengunci pintu pagar rumah mereka dan turut membawa bersama kunci tersebut ketika keluar.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan II Iszahwati Supardi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 2.40 pagi, hari ini.
Katanya, sehubungan itu, seramai lapan anggota beserta dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian di Jalan Jade Sadu 6, Bandar Seri Alam, di sini.
“Setibanya di lokasi, didapati mangsa iaitu seorang wanita dewasa terperangkap di dalam rumah berkenaan.
“Ketika kejadian, mangsa terperangkap berseorangan bersama 27 ekor kucing peliharaannya,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Iszahwati, anggota bomba kemudian bertindak memotong kunci mangga pintu dengan menggunakan Bolt Cutter.
“Mangsa berjaya di keluarkan dengan selamat sebelum operasi kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
“Setelah memastikan mangsa dalam keadaan selamat, anggota menamatkan operasi pada pukul 3.14 pagi,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE