PASIR PUTEH: Sebanyak 40 buah rumah di lima kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Limbongan di sini, rosak teruk selepas dilanda ribut bersama ketulan hujan air batu, petang semalam.
Kejadian pukul 6 petang itu melibatkan Kampung Pangkalan, Kampung Sungai Rasau, Kampung Wakaf Bunut, Kampung Hutan Jering dan Kampung Bukit Gedombak.
Dalam kejadian tersebut, ada bumbung rumah penduduk diterbangkan angin kencang ke udara manakala sebahagian rumah turut rosak selepas ditimpa pokok yang tumbang.
Siti Minah Mamat, 65, dari Kampung Hutan Jering berkata, apabila rumahnya bergegar seakan-akan bakal runtuh, dia segera berlari ke rumah anaknya, Hamizah Hamzah, 39, kira-kira 10 meter dari situ.
Katanya, beberapa keping atap zink dari rumahnya jatuh dengan kuat di depan mata disusuli dengan bunyi kuat ketulan ais yang jatuh dari langit.
“Anak bongsu, Mohd, Izzat Hamzah, 20, pula menyaksikan kayu alang rumah kami yang patah dalam sekelip mata dan terus terbang bersama atap zink. Syukur tiada kemalangan jiwa yang berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya hari ini.
Ibu tunggal di Kampung Nara, Siti Mariam Zakaria, 39, pula mendakwa kerugian sebanyak RM10,000 apabila bahagian hadapan rumahnya ranap manakala bumbung bilik tidur dan dapurnya diterbangkan angin dalam tempoh tidak sampai dua minit.
Ketika kejadian, katanya, dia keluar ke pusat bandar dan meninggalkan empat anak yang memaklumkan mereka terperangkap di dalam rumah selepas berlakunya ribut.
“Malam tadi, kami anak-beranak tumpang tidur di rumah saudara-mara yang berdekatan kerana keseluruhan rumah tidak berbumbung sudah digenangi air hujan,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbongan, Mohd. Nazlan Hasbullah berkata, pihaknya melaksanakan Ziarah Cakna Mangsa Ribut ke semua mukim yang terlibat bermula petang hingga malam tadi untuk menyampaikan bantuan kecemasan.
“Semoga rakyat menghadapi ujian yang berlaku ini dengan hati yang tabah dan penuh kesabaran. Insyaallah, kita akan membantu meringankan beban semua yang terlibat,” katanya. -UTUSAN ONLINE