Nelayan Kemboja jatuh laut diserahkan kepada Kedutaan - Utusan Malaysia

Nelayan Kemboja jatuh laut diserahkan kepada Kedutaan

KOMANDER Maritim Mohd. Hashim Mat Zain (kiri) bersama Pek Poeun (dua dari kiri) dan Zulkifli Mohd. Salleh (dua dari kanan) ketika majlis penyerahan nelayan tersebut kepada Kedutaan Kemboja hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seorang nelayan warga Kemboja yang berjaya diselamatkan setelah jatuh ke laut dekat Pulau Jarak di sini pada Jumaat minggu lalu diserahkan kepada Kedutaan Kemboja, hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, wakil Kedutaan Malaysia ke Kemboja, Zulkifli Mohd. Salleh bersetuju menerima mangsa selepas sesi pengesahan dilakukan terhadap individu tersebut.

“Justeru, pihak Kedutaan Kemboja akan menguruskan penyediaan dokumen berkaitan dan proses penghantaran pulang dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini petang ini.

Menurut Shahrizan, mangsa Pek Poeun, 41, diserahkan oleh Timbalan Pengarah Operasi Maritim Perak, Komander Maritim Mohd. Hashim Mat Zain kepada wakil Kedutaan Kemboja itu.

Katanya, hasil ujian saringan Covid-19 ke atas mangsa telah dilakukan kelmarin dan didapati negatif.

“Nelayan warga Kemboja itu dipercayai jatuh laut dan telah diselamatkan oleh Kapal Diraja (KD) Mahamiru Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menerima maklumat kejadian itu daripada sebuah kapal dagang sebelum diserahkan kepada Maritim Perak bagi tindakan lanjut,” katanya.

Sebelum ini, jurucakap Pusat Operasi Markas Pemerintahan Armada Barat, Pangkalan TLDM Lumut, dilaporkan berkata, KD Mahamiru yang sedang melakukan rondaan Selat Melaka menerima maklumat daripada sebuah kapal dagang, MV SK Splendor yang kebetulan melalui kawasan tersebut.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati mangsa merupakan awak-awak bot nelayan tempatan yang terjatuh ketika menangkap ikan pada waktu malam.

Katanya, kejadian berlaku ketika keadaan laut bergelora selain beliau mengingatkan nelayan tempatan meningkatkan tahap keselamatan ketika menjalankan aktiviti perikanan di laut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya