MARANG: Usaha mengesan penghuni Pusat Jagaan Baitul Cakna Lelaki di Hulu Terengganu, dekat sini Wan Nashaifudin Wan Latif, 48, yang dilaporkan lemas di Pantai Jambu Bongkok di sini Jumaat lalu diteruskan dengan menggunakan helikopter.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Zain Mat Dris berkata, operasi pencarian udara yang berlangsung selama sejam dari pukul 12.50 tengah hari itu membabitkan jarak sejauh 24 kilometer dari Jambu Bongkok ke Kuala Dungun di Dungun.
Katanya, inisiatif itu digerakkan dengan aset Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).
“Pencarian diteruskan di sebelah petang dengan menggunakan helikopter Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula.
“Tinjauan dari udara membolehkan kita melihat hingga ke dasar, namun masih tiada sebarang petunjuk baharu setakat ini,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu, mangsa dikatakan mandi di pantai itu bersama enam lagi rakannya yang menghuni di pusat jagaan sama di cawangan Jambu Bongkok.
Terdahulu, mayat seorang lagi mangsa lemas, Naim Hariri Kamaruddin, 31, ditemukan terdampar di Pantai Alur Tuman di daerah sama hari ini kira-kira 3 kilometer dari lokasi dilaporkan hilang pada Jumaat lalu.
Menurut Mohd. Zain, operasi mencari dan menyelamat turut menggunakan enam jet ski di samping dua bot milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia). – UTUSAN ONLINE