Lelaki terjun jambatan ditemukan mati lemas - Utusan Malaysia

Lelaki terjun jambatan ditemukan mati lemas

ANGGOTA bomba membawa mayat mangsa lemas di jambatan Kampung Bukit Sapi di Lenggong hari ini. - IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Seorang lelaki yang dipercayai terjun ke dalam Sungai Perak dari jambatan Kampung Bukit Sapi semalam, ditemukan mati lemas hari ini.

Mayat Mohamad Nor Solihin Mohamad Redzuan, 24, dijumpai terapung oleh orang awam yang menyertai operasi mencari dan menyelamat pada pukul 3.51 petang.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, mayat mangsa dijumpai di tebing sungai pada jarak satu kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

Katanya, mayat mangsa yang dijumpai dalam keadaan sempurna itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat.

“Pihak polis menerima laporan mengenai kehilangan mangsa pada pukul 8.20 malam semalam di mana motosikalnya ditemui di atas jambatan berkenaan.

“PKTK telah dibuka di lokasi kejadian pada pukul 8.45 pagi hari ini. Lapan buah bot digunakan untuk mencari mangsa dalam operasi sekitar satu kilometer di Sungai Perak,” katanya di sini hari ini.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat melibatkan dua pegawai dan 40 anggota daripada polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Rela serta orang awam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong, Farizul Anuar Razali berkata, sepasukan 12 anggota dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 8.45 pagi.

Katanya, bomba turut dibantu 10 anggota Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa. 

“Komander operasi membuat dua kumpulan untuk mencari mangsa dengan menggunakan teknik pencarian di permukaan. Mangsa yang dijumpai diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya